nak menang iPhone 5S dan 5C? Klik banner dibawah ini :

Thursday, December 1, 2011

Kekalahan kepada Bahrain, FAM dituduh terima rasuah

IMBAS kembali... Wajah-wajah kecewa para pemain Harimau Muda selepas tewas 2-3 kepada Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad lalu.


KEKALAHAN 2-3 pasukan Harimau Muda kepada Bahrain dalam saingan Kumpulan C kempen kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia pada Ahad lepas ternyata mengecewakan banyak pihak.

Lebih kecewa, skuad negara yang mendahului dua gol menerusi ‘arkitek’ muda, Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli terpaksa akur dengan kebangki- tan pasukan pelawat yang meledak tiga gol pada lewat permainan menerusi pe- nyerang gantian, Saad Salah Al-Amer dan Isa Ahmed Muthanna.

Paling teruk, ‘malapetaka’ itu berlaku semasa Bahrain terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Fahad Tareq Showaiteb dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.

Ekoran daripada itu, timbul nada-nada ‘sumbang’ dari luar padang yang mempersoalkan integriti skuad kendalian Ong Kim Swee serta mengaitkannya dengan isu rasuah seperti mana yang pernah melanda arena bola sepak tempatan suatu ketika dahulu.

Begitupun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Azzuddin Ahmad menafikan sekeras-kerasnya dakwaan negatif itu sambil memberitahu, kegagalan Harimau Muda itu kerana kurang bernasib baik.

Menurut beliau, mustahil pasukan yang berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA itu sanggup menjaja maruah dan menerima suapan.

“Apa semua ini? Desas-desus negatif ini ternyata membunuh semangat pasukan kita yang ketika ini di landasan yang betul bagi memartabatkan semula bola sepak tanah air.

“Sebenarnya, saya sudah lali dengan komen-komen negatif seperti ini. Ia bagaikan asam garam apabila menuduh pasukan negara yang bukan-bukan, rasuah, isu atur perlawanan dan banyak lagi isu negatif.

“Bagi saya, skuad negara yang beraksi cemerlang ketika menentang Bahrain sebenarnya kurang bernasib baik. Tambahan pula pasukan lawan memiliki senarai pemain gantian yang cukup bagus berbanding Harimau Muda yang banyak tercedera sejak temasya Sukan SEA,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Azzuddin memberitahu, penyokong juga harus lebih bersikap profesional dan tidak mudah menghentam atau melenting tidak kira sama ada pasukan negara menang atau tewas.

Ketika mengulas mengenai lanjutan kontrak Kim Swee yang akan tamat pada Mac tahun depan, beliau begitupun enggan mengulas lanjut atas alasan ia merupakan hal dalaman FAM.

“Tidak perlu hendak merujuk SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) untuk siasat kekalahan kali ini, ia bukan faktor rasuah, sebaliknya hanya kita kurang bernasib baik,” tegasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali semasa dihubungi mengesahkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan bagi menyiasat perkara tersebut.

“Jika ada laporan, kami akan segera siasat tetapi pada masa saya tidak menolak kemungkinan betapa ia sekadar spekulasi orang ramai yang kecewa dengan keputusan perlawanan itu,” katanya enggan mengulas lanjut.

Related Posts Widget For Blogger with ThumbnailsBlogger Templates