PETALING JAYA - Seorang anggota polis berpangkat konstabel, diarah membela diri di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, terhadap dua tuduhan merogol dan memaksa seorang gadis berusia 17 tahun melakukan oral seks, di Balai Polis Putra Height, tiga tahun lalu.
Hakim, Hayatul Akmal Abd Aziz memutuskan demikian terhadap, Jamil Abdul Sah, 30, selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadapnya.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 Disember depan untuk Jamil membela diri.
Mengikut pertuduhan, anggota polis itu didakwa merogol pelajar tingkatan lima di bilik maklumat, Balai Polis Putra Height, di sini, antara jam 6 dan 7 pagi, 18 Jun 2008.
Jamil didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377B Kanun yang sama, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Seramai 14 saksi memberi keterangan termasuk mangsa.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Kok Seng, manakala peguam, Ariff Azimi Hussein mewakili Jamil.
Berdasarkan keterangan sebelum ini, mangsa dan teman lelakinya ditahan anggota polis berkenaan kerana menunggang motosikal secara berlawan arus.
Mangsa bagaimanapun dibawa ke bilik di balai polis tersebut sebelum dirogol dan dipaksa melakukan oral seks.
SUMBER: SH